"Saya Tak Tahu Dia Nak Ajak Tidur" Alasan Pelajar Perempuan Tingkatan 3 Selepas Ditangkap Khalwat
KUALA TERENGGANU - “Saya tidak tahu dia nak ajak tidur sini,
sebab dia janji nak hantar balik rumah,” demikian alasan diberikan seorang
pelajar tingkatan tiga selepas ditangkap berkhalwat bersama teman lelakinya
yang berusia 17 tahun di sebuah bilik hotel murah, di bandar Besut, Khamis
lalu.
Calon ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) itu
ditahan selepas bilik hotel yang disewa bersama teman lelakinya yang juga
merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diserbu sepasukan penguat kuasa
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kira-kira jam 11.30 malam.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan
Ibrahim berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam memberitahu menjadi satu
kelaziman pasangan remaja menyewa bilik-bilik hotel murah di sekitar bandar
Besut terutama pada malam minggu.
Katanya, siasatan mendapati pelajar perempuan itu sebelum
ini dijemput oleh teman lelakinya dari asrama sebelum sama-sama merancang untuk
menyewa bilik di hotel terbabit sehingga Sabtu.
“Gadis itu memberitahu kekasihnya yang juga bersekolah di
sekolah berhampiran sentiasa menjemputnya balik dari asrama setiap kali ibunya
tidak dapat berbuat demikian kerana terpaksa ke Kuala Lumpur.
“Malah, petang tadi (hari kejadian), dia mendakwa teman
lelakinya terpaksa mengambilnya di asrama kerana ibunya tiada dan pergi ke
Kuala Lumpur kerana ada urusan kerja,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya lagi, remaja itu mengakui menjalin hubungan cinta
dengan kekasihnya sejak November tahun lalu selepas berkenalan di gerai kuih
ibunya, bagaimanapun mendakwa langsung tidak menyangka teman lelakinya itu
berani mengajak tidur di bilik hotel terbabit.
“Malah dia mendakwa lelaki itu memang tidak pernah sesekali
memaklumkan kepadanya berkaitan perancangan bermalam di situ kerana sebelum
ini, teman lelakinya berjanji akan menghantarnya pulang ke rumah.
“Dalam masa sama, gadis itu mengakui memang sebelum ini
teman lelakinya pernah menemaninya bermalam di rumah ketika ibunya tiada di
rumah,” katanya.
Wan Mohd berkata, kedua-dua remaja itu di bawa ke Pejabat
Agama daerah Besut untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jaminan
hadir ke mahkamah.
Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana berkhalwat.-Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan