Hampir 14 Tahun Saya Simpan Kisah Ini, Hari Ini Saya Kongsikan
Biar kita tersilap ampun dari kita tersalah hukum. Saya
kongsikan cerita ini hampir 14 tahun saya simpan. Tidak ada siapa tahu suatu
ketika dulu keluarga saya berada di bawah pemantauan kementerian kesihatan
kerana penyakit yang dijangkiti oleh maid saya.
Ingin saya berkongsi cerita tentang gangren. Gangren ini
berlaku apabila sel-sel telah mati menyebabkan daging busuk. Daging busuk tadi
disebabkan oleh kuman. Kiranya kuman ini memang sudah lama ada di dalam tubuh
seseorang tetapi duduk rehat/pasif.
Suatu hari maid saya terjatuh, terjelepok ke lantai
menyebabkan kakinya sakit. Katanya terseliuh, salah urat. Cuma disapu minyak
panas dan urut sikit sikit.
Dua hari selepas itu, maid saya demam dan saya bawa ke
klinik. Doktor kata demam denggi. Kakinya bengkak dan kehitaman, seperti
berlaku pendarahan. Sepatutnya nampak kemerah-merahan tetapi kulit maid saya
gelap, warna merah jadi warna hitam. Bimbang keadaan akan lebih memudaratkan,
doktor menasihati saya agar membawanya ke hospital. Oleh kerana maid warga
asing, saya masukkan maid ke hospital swasta, Hospital Pakar Johor.
ASALNYA CUMA TERSELIUH, TETAPI KAKI BENGKAK & BERTUKAR
WARNA HITAM
Empat hari berada di wad. Doktor pakar benar-benar melakukan
siasatan kenapa kaki maid saya yang asalnya cuma terseliuh boleh bengkak dan
bertukar warna hitam. Doktor memaklumkan bahawa sel-sel telah mati dan kaki
maid jadi gangren. Doktor pakar menasihatikan agar maid dipindahkan ke hospital
kerajaan. Kos rawatan sangat tinggi jika meneruskan rawatan di situ.
Setelah urusan discaj, bil rawatan selama 4 hari mencecah
RM5,500. Doktor menyediakan surat rujukan untuk meneruskan rawatan di hospital
kerajaan. Satu saja yang hospital pakar sembunyikan mereka tak mahu beritahu
mengapa gangren boleh terjadi. Mereka suruh saya tanya pakar di hospital
kerajaan. Doktor pakar menegaskan maid saya mesti dibawa menerima rawatan
segera dan jangan sekali kali bawa pulang ke rumah.
Memandangkan maid memang sakit dan lemah, terus saya bawa
dari Hospital Pakar Johor ke Hospital Sultanah Aminah. Saya sudah tidak kira
lagi kos rawatan yang perlu saya tanggung demi membantu orang yang sakit.
Memang kena bayar deposit sebab maid warga asing.
RUPA-RUPANYA MAID DIJANGKITI KUSTA
Baru dua hari duduk dalam wad, doktor pakar perubatan dan
doktor pakar kulit HSA sudah memanggil saya datang untuk menerangkan kenapa
kaki maid jadi gangren dan rawatan selanjutnya. Doktor menerangkan kaki maid
jadi gangren, sel-sel mati disebabkan maid saya telah dijangkiti kusta. Kusta
ini bukan baru tetapi telah ambik masa bertahun-tahun berada dalam tubuh maid
cuma tidak aktif.
Maid terjatuh telah merangsang kuman aktif dan menyebabkan
sel-sel di kaki mati. Pendek kata kuman ini serang kaki dulu. Sebenarnya kuman
itu telah berada di seluruh tubuh tetapi yang lain masih tidur. Jelas kelihatan
kulit di beberapa bahagian menebal dan hilang deria rasa. Itupun kami tahu
setelah doktor pakar memeriksa secara terperinci di setiap bahagian tubuh maid
saya. Banyak lagi simptom lain yang mengesahkan maid saya mengidap kusta.
Kusta bukan alang-alang penyakit. Penyakit kusta ada
tercatat dalam kisah nabi Musa. WHO telah mengistiharkan mana-mana kawasan atau
sesiapa yang terkena penyakit kusta perlu diasingkan/ dikuarantin, hidup dalam
pengasingan.
Dulu di Sg Buluh, Selangor ada sebuah hospital untuk merawat
orang-orang yang berpenyakit kusta. WHO juga telah mengistiharkan rawatan untuk
orang sakit kusta adalah percuma.
Pelan rawatan awal yang doktor maklumkan kepada saya ialah
menjalani pembedahan plastik ke atas kaki maid. Bermakna daging daging kaki
semuanya dibuang termasuklah kulit kulit kaki. Asalnya jatuh terseliuh itu
sebelah kaki saja, tetapi terjadi gangren di kedua-dua belah kaki. Pembedahan
plastik dilakukan di kedua-dua belah kaki dari buku lali hingga ke lutut.
Doktor kata kuman itu baru merosakkan sel-sel dalam daging saja belum masuk ke
tulang, jadi tidak perlu potong kedua-dua kaki.
KKM PERINTAH HANTAR MAID PULANG KE NEGARA ASAL
Pelan seterusnya, doktor menasihati selepas pembedahan
dijalankan, ubat diberikan maid mesti dihantar pulang ke negara asalnya. Saya
akur kerana ini adalah perintah Kementerian Kesihatan Malaysia apabila laporan
diberikan terdapat seorang pesakit kusta warga asing berada di Malaysia.
Tahun 2002 Malaysia sudah diistiharkan negara bebas kusta.
Jadi bila ada kes yang melibatkan warga asing, kerajaan dibawah Kementerian
Kesihatan Malaysia mengarahkan warga asing itu mesti dihantar pulang setelah
diberikan rawatan.
Selama 56 hari maid menerima rawatan di HSAJB, hari-hari
saya melawat dan menjaga maid. Semua kos rawatan di hospital swasta saya
tanggung. Baru saya tahu kenapa hospital swasta tidak mahu memaklumkan kepada
saya tentang penyakit sebenar kerana saya boleh memohon pengecualian kos
rawatan. Sebaliknya selepas saya bayar semua bil rawatan, saya dinasihatkan
masukkan maid ke hospital kerajaan.
Ikut kiraan kos rawatan warga asing di hospital kerajaan
selama 56 hari, dengan pembedahan plastik lagi jumlah boleh mencecah RM
10,000.00. Tetapi kerana kusta dibawah pemantauan WHO, maka kos rawatan
dikecualikan. Sebaik keadaan maid stabil, berbekalkan ubat ubatan untuk sebulan
surat dari KKM telah dikeluarkan agar dihantar pulang ke negara asal. Saya
terpaksa menghantar maid pulang melalui jalan laut. Bantuan imegresen dan
kastam maid ditemani saudara pulang. Bila sampai negaranya maid perlu
dimasukkan semula ke hospital dinegaranya, bukan pulang ke rumah.
Jika ikutkan saya, saya tak mahu hantar maid pulang ke
negara asalnya sebab nanti maid tentu tidak mampu biaya rawatan di sana dan
tidak ada siapa yang akan ambil peduli kesihatan dan rawatannya.
Benar maid ini bukan orang kaya dan kos rawatan kesihatan di
negaranya tinggi. Ubat-ubatan yang KKM bekal untuk sebulan telah habis. Untuk
membeli ubat lagi, maid tidak mampu.
KELUARGA MAJIKAN PERLU JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN BERKALA
SELAMA BEBERAPA TAHUN
Beberapa bulan selepas itu, saya mendapat khabar bekas maid
telah meninggal dunia. Kuman-kuman telah menyerang seluruh anggota tubuhnya
menyebabkn daging-daging busuk. Banyak sel-sel tubuh mati. Tanpa rawatan yang
sepatutnya kaki dulu itu dipotong menyebabkan kuman aktif dan bermaharajalela.
Kesan ke atas keluarga saya ialah kami semua telah
dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan di bawah klinik pakar kulit HSA
selama beberapa tahun. Oleh kerana ketika maid mula bekerja di rumah saya, saya
sedang mengandung anak bongsu, anak bongsu lahir dia yang menjaga ketika saya
keluar bekerja. Maka anak bongsu yang paling kerap bersama maid sepanjang
setahun maid bersama saya. Anak bongsu diletakkan bawah pemantauan doktor pakar
kulit selama 10 tahun. Siapa saja yang pernah tinggal bersama saya dalam tempoh
maid tinggal dengan saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
Sehingga kami diistiharkan bebas dari jangkitan kusta.
Saya hampir hilang kewarasan dalam bertindak kerana rasa
tertekan. Seluruh ahli keluarga terdedah dengan kuman kusta. Kuman kusta ini
bukan bertindak cepat sebalik pasif sehingga tiba saat diaktifkan dan apabila
sudah aktif, tidak dapat dihentikan lagi. Walaupun doktor menerangkan keadaan
keluarga saya terkawal kerana maid sempat diberikan ubat-ubatan. Tetapi sebelum
maid menerima rawatan seluruh keluarga saya terdedah dengan penyakit itu.
Anak-anak saya masih kecil ketika itu.
SEBATAN GETAH PAIP MUNGKIN ASBAB KUMAN DALAM TUBUH AKTIF
Sungguh Allah yang Maha Berkuasa menjaga keluarga saya dari
terkena jangkitan kuman kusta. Keluarga saya sudah melepasi tahanan kawalan. 14
tahun telah berlalu. Keluarga saya tidak perlu lagi menjalani pemeriksaan
pemantauan penyakit kusta.
Ini saya kongsikan agar kita tidak khilaf menuduh seseorang
yang menyebabkan gangren dan kaki terpaksa dipotong. Sebatan getah paip mungkin
asbab kuman dalam tubuh aktif dan menyerang sel-sel. Tapi bukan orang itu yang
mencelakakan hingga kaki dipotong.
Takut-takut dosa membuat tuduhan membukit nanti dan payah
kita mencari orang yang kita tuduh untuk memohon maaf. Biarlah kita tersilap
ampun dari tersalah hukum. Saya tidak rela seseorang itu dituduh tanpa siasatan
wajar. Kita perlu bersabar untuk mengetahui kebenaran.
Melihat sel-sel kaki mati, daging busuk boleh muntah. Saya
pernah membawa anak melawat maid di hospital, anak saya terus muntah kerana
tidak tahan bau dan ngeri. Kulit terkoyak dan daging itu jatuh sendiri sebelum
pembedahan plastik dijalankan.
Ambillah pelajaran dan iktibar bahawa setiap berlaku ada
asbabnya sedang itu memang sudah tertulis sejak azali. Oleh Muna Liza Binti Ismaill dan Dr Othman Al-Banjarii, Baitus Solehah GANGREN / APABILA SEL-SEL MATI
Ulasan
Catat Ulasan