Sambutan Ulang Tahun Umno, Dituduh Tipu Mahasiswa Turun Ke Bukit Jalil
Pemuda PKR menuduh Umno menggerakkan mahasiswa dari sebuah
universiti awam untuk turun ke Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur malam ini,
sempena ulang tahun ke-71 parti itu.
Naib Ketua Pemuda PKR Afif Bahardin berkata, beliau menerima
mesej WhatsApp daripada pelajar universiti, yang terletak di Shah Alam itu.
"Terdapat usaha bersepadu untuk memanipulasi dan
menggerakkan pelajar untuk menghadiri acara di Bukit Jalil itu.
"Kami mengesyaki bahawa program itu membabitkan
sambutan ulang tahun ke-71 Umno," kata exco Pulau Pinang itu pada sidang
media di Seberang Jaya.
Afif juga mengemukakan salinan mesej WhatsApp semasa sidang
akhbar itu.
Bagaimanapun Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa
menafikan dakwaan tersebut, dengan berkata sambutan malam ini adalah
"terbuka" kepada sesiapa yang berminat untuk hadir.
"Acara malam ini adalah terbuka. Sesiapa sahaja boleh
datang. Ia adalah satu karnival terbuka. Tiada arahan [daripada UiTM] dan tidak
ada masalah.
"Jika UiTM mahu sertai, tidak ada masalah,"
katanya yang dipetik oleh sebuah portal.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama universiti itu sementara
menunggu maklum balas daripada pihak pentadbirannya .
Afif juga menuduh Umno "menipu" pelajar-pelajar
bagi menghadiri majlis berkenaan, yang menurut mesej Whatsapp, digambarkan
sebagai "Program Sukarelawan Patriotisme".
"Para pelajar sebenarnya digunakan untuk memenuhkan
stadium," katanya.
Ketua Pemuda PKR itu juga mahu pihak pengurusan universiti
untuk menjelaskan mengapa pelajar didakwa diberikan kelulusan untuk menghadiri
program berkenaan dan bukannya menghadiri kuliah.
"Menghadiri kuliah adalah tugas utama seorang pelajar
universiti," katanya, sambil menuntut untuk tahu jumlah peruntukan yang
diperuntukan untuk "mengerakkan" pelajar tersebut.
Afif juga ingin tahu sama ada belanja membekalkan pelajar
dengan pengangkutan, makanan, t-shirt dan sijil, seperti yang dijanjikan dalam
mesej WhatsApp itu, adalah dibayar oleh Umno atau universiti yang terlibat.
Langgar intergriti
Turut menyatakan kekecewaan dengan universiti awam itu
adalah Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Leong Yu Sheng.
Sambil menyatakan kekecewaan terhadap naib canselor
universiti kerana melanggar integriti dan etika akademik, katanya, institusi
pengajian tinggi adalah tempat yang memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk
menuntut ilmu dan kebenaran.
“Tindakan ini yang mengadaikan masa pembelajaran mahasiswa
dan menjadikan mahasiswa sebagai alat mainan di sambutan Umno amat memalukan.
“Demi menyembunyikan fakta bahawa Umno kehilangan sokongan
anak muda, pihak universiti terdesak untuk melibatkan mahasiswanya sebagai peserta,”
katanya dalam satu kenyataan.
Yu berkata, memaksa mahasiswa terbabit dalam aktiviti
politik oleh pihak universiti harus dipandang serius oleh masyarakat dan ahli
akademik.
Pengunjung ke acara hari ini berpeluang membawa pulang
hadiah cabutan bertuah termasuk kereta yang semuanya berjumlah hampir RM1 juta,
khas untuk mereka yang bertuah dan sudah pun mendaftarkan diri melalui aplikasi
Malaysia 4 All.
Ulasan
Catat Ulasan